Saturday, April 23, 2011

KAU DAN AKU ADALAH SATU







Hai.......,sekian lama tak mengintai ruangan blog ni, tambahan pula untuk menjamahnya..., setelah sekian kalinya, maka hari ini adalah hari yang mungkin bertuah dan penuh bermakna kerana berpeluang untuk menatap dan mengisi kekosongan dalam blog ini, adakah ia juga untuk terakhir kalinya saya berpeluang untuk menulis sedikit rasa, mana tahukan wallah wa'alam.....,hidup itu pasti dan mati itu juga pasti.

Kita merancang untuk hidup, tapi rasanya kita tidak pernah merancang untuk mati. Mungkin kadang kala kita merasakan merancang itu seolah-olah ingin menamatkan riwayat hidup dengan cara yang tidak sepatutnya, tetapi bagi saya ungkapan tersebut mungkin boleh diperbetulkan kerana merancang bukan untuk membunuh diri semata tetapi merancang juga adalah untuk kita lebih bersedia menghadapi saat sakaratul maut. Setiap orang tidak dapat menduga bila saat tersebut akan tiba, tetapi tidak salah jika kita sering mengingatinya malah ia amat digalakkan supaya kita sama-sama mendapat kesedaran dan keinsafan dalam diri.

Walaupun sudah 23 tahun saya berpeluang menghirup udara di dunia ini, rasanya masih banyak perkara penting yang belum saya laksanakan. Masih belum ada kejayaan yang mampu saya banggakan di atas dunia ini. Kata orang "belajar dari kegagalan sebelum mengecapi kejayaan", benarkah? Tapi bagaimana kalau kegagalan demi kegagalan yang kita tempa di dunia ini? Perlukah kita mengecapi kejayaan dan untuk apakah kejayaan tersebut? Kadang kala kita terlalu merancang untuk berjaya di dunia ini, tetapi kita alpa dan lupa di sebalik perancangan tersebut ada yang lebih berkuasa yang menentukan segalanya. Sehebat mana perancangan kita itu tidak mampu menolak ketentuan yang ESA. Haruskah perlu malu dengan kegagalan tersebut, kerana mungkin hanya itu kemampuan yang kita ada. Tapi pernahkah kita merasa malu untuk menghadap yang maha ESA tanpa ada bekalan yang secukupnya. Berjayakah kita di dunia ini jika kita gagal di akhirat kelak.

Hidup penuh dengan liku dan cabaran. Kadangkala hidup ini membuat kita bahagia, gembira, bangga, sedih, kecewa, putus asa dan sebagainya. Seolah-olah seribu satu rasa kita rasakan. Pernahkah kita terpikir segala perasaan tersebut apakah petandanya. Dengan keseronokan di dunia yang fana ini, akan turut berbahagiakah di alam yang satu lagi. Jika itulah pertandanya maka berbahagialah. Tapi tahukah kita setiap panorama yang memukau mata dan membahagiakan itu, adalah racun yang berbisa di akhirat kelak. Kebahagiaan duniawi itu hanya tipu muslihat semata-mata.

Sedar atau tidak, setiap kali kita berada dalam keadaan yang amat bahagia itu, berapa kerap kita mengucapkan syukur padaNYA tapi apabila kita berada dalam kesusahan setiap detik, setiap saat tiada yang mampu kita lakukan melainkan mengingati dan merintih padaNYA. Tetapi pernahkah kita bersyukur di sebalik kesusahan itu kerana kita diberi peluang untuk sentiasa mengingatinya dan kemungkinan disaat tersebut amal ibadah kita turut bertambah. Alhamdulillah, bersyukur kepada yang terpikir sedemikan.

Sedarlah wahai diri dan rakan-rakan, hidup ini hanya sekali. Usah terlalu mengharap dengan kejayaan duniawi tetapi mengabaikan yang lebih hakiki, pada yang gagal jangan bimbang berdoalah semoga martabat kita diangkat diakhirat kelak. Jika berjaya di dunia jangan sesekali lupa kepada sang pencipta yang lebih tahu dari segalanya. Moga kita menjadi hamba yang bertaqwa dan berjaya di dunia dan akhirat. aminnnnn:-)

Semoga kita bertemu lagi di lain waktu, dan jika tidak di dunia ni lagi mudah-mudahan di alam yang satu lagi yang lebih hakiki.