Monday, November 1, 2010

Mencari Cinta Ilahi, Menggapai Syurga Hakiki


PENDAHULUAN:

Cinta tertinggi ialah kepada Allah iaitu dengan berjihad ke jalan Allah. Kerana zat yang tertinggi telah diyakini, yang maha sempurna, maha agung, dan maha indah iaitu hanya Allah s.w.t. Tidak ada satu pun yang memiliki kesempurnaan seperti Allah dan dapat memberi kebahagiaan,ketenangan dalam diri manusia. Semua manusia mengharapkan syurga yang telah Allah janjikan kepada manusia yang beriman kepadaNya. Allah s.w.t membuka banyak pintu untuk membantu manusia memperoleh jalan ke surgaNya yang hakiki.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., rasulullah s.a.w. berkata kepadanya:

Wahai Abu Said! Siapa yang meredai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai nabi, maka wajiblah baginya syurga.”[1] (Riwayat Muslim)

Oleh itu, persoalan utama disini ialah untuk kita mendapatkan jalan menuju ke syurga adalah dengan mencari cinta Allah s.w.t yang amat kita dambakan. Bagaimanakah untuk kita mendapatkan cinta Allah sebagaimana kecintaan sahabat-sahabat di zaman Rasulullah? Persoalan ini akan dikupas selanjutnya melalui beberapa hadis dan ayat al-Qur’an yang bersesuaian.

DEFINISI:

Tidak akan tergelincir kedua kaki anak Adam pada hari kiamat nanti melainkan dia akan ditanya dengan lima soalan; mengenai umurnya ke mana dihabiskan; masa mudanya bagaimana dipergunakan; hartanya dari mana diperoleh dan ke mana pula dibelanjakannya; dan ilmunya apakah ia diamalkan.” (Hadis riwayat Tirmizi, Tabrani dan Ibnu Asakir)”.

Bagaimana ingin kita jawab apabila soalan ini ditanya di akhirat nanti? Adakah kita mampu memberikan jawapan dengan mudah ataupun kaku tiada jawapan?

Kehidupan masa kini, dugaan dalam cinta merupakan ujian yang berat bagi manusia yang berkasih sayang. Namun bukan ingin menterjemahkan cinta kepada manusia, tetapi untuk mencari cinta Illahi, manusia juga akan diuji dengan pelbagai dugaan. Ujian ini berupa kenikmatan dunia yang sementara bertujuan untuk mengukur keikhlasan dan tahap kecintaan kepadaNya.

Antara perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk mendapatkan cinta Illahi bagi membolehkan kita menggapai syurga yang hakiki adalah melalui khusyuk dalam solat, zikrullah, dan mencintai kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

A)Khusyuk dalam solat

“Dan laksanakanlah salat pada kedua ujung siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan kesalahan-kesalahan. Itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu mengingat (Allah).” (Surah Hud: Ayat 114)

Ayat dari petikan surah Hud ini menyatakan kepentingan solat dan faedahnya iaitu dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan kepada Allah s.w.t. Solat merupakan waktu peribadi seseorang bertemu janji atau mendekatkan diri kepada Allah dengan cara beristiqamah kepada-Nya, memohon keampunan dan keredhaanNya.Dari segi psikologi, apabila khusyuk dalam solat, seseorang yang merasai kenikmatan dalam solatnya akan merasai ketenangan walaupun dibelenggu dengan pelbagai masalah. Secara tidak langsung, ia menambahkan keyakinannya bahawa setiap sesuatu itu ada hikmah disebaliknya. Kekuatan hati dan jiwa yang percaya kepada Qada dan Qadar yang ditetapkan Allah akan menyebabkan benih kasih sayang bercambah kepada Illahi.

B)Zikrullah

Daripada Anas bin Malik r.a, nabi s.a.w bersabda:“Apabila kamu melalui taman syurga, maka ragutlah(perbanyakkanlah zikir untuk mendapatkan ganjaran).” Para sahabat bertanya:“apakah dia taman syurga?” Baginda menjawab:“ Kelompok-kelompok orang berzikir” (Riwayat Al Tarmizi)

Zikrullah bermaksud hati yang sentiasa tunduk dan patuh kepadaNya samada secara perbuatan, menzahirkan dengan kata-kata, memendamkan didalam hati.Malah melalui ayat ini telah dijelaskan oleh Rasulullah bahawa berzikir itu sangat dituntut untuk memperoleh ganjaran pahala.Sentiasa berzikir didalam hati dapat mengelak melakukan perkara-perkara yang dilarang iaitu dengan mengingati dan takut pada balasan Allah s.w.t kerana bimbang mendapat kemurkaan Allah s.w.t. Malah setiap detik seluruh alam tidak kira manusia, tumbuhan dan haiwan turut berselawat patuh kepadaNya. Zikir-zikir memuji nama Allah yang mempunyai setiap maksud yang agung dan sempurna merupakan salah satu lafaz kesyukuran diatas kenikmatan yang diperolehi.


C)Mencintai kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w

Daripana Anas bin Malik r.a beserta Rasulullah s.a.w “ tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain, sesiapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah(dan bukan kerana suatu tujuan duniawi), dan ia yang membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya(daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan kedalam api”[2] (Riwayat muslim)

Nabi Muhammad s.a.w merupakan manusia teragung, dan dikasihi oleh Allah s.w.t. Ini bermakna mengasihi baginda iaitu dengan mengingati, merinduinya serta mengamalkan segala sunnahnya, kita akan sentiasa dikasihi oleh Allah s.w.t. Teorinya, apabila kita mengasihi atau menyukai sesuatu yang disukai oleh seseorang itu maka mudah bagi seseorang itu untuk menerima kita. Begitu juga apabila kita mengasihi sesuatu yang dikasihi olehNya, maka sudah tentulah Allah juga akan menerima amalan dan kasih sayang kita. Syafaat Rasulullah s.a.w dengan izin Allah s.w.t dapat membantu manusia di akhirat kelak. Oleh itu, kita seharusnya berlumba-lumba untuk mendapatkan syafaat baginda seperti membaca doa setelah azan, membaca selawat keatas baginda, banyakkan sujud yang bermaksud memperbanyakkan mengerjakan solat dan sebagainya. Kita juga seharusnya menjadikan baginda idola dalam kehidupan hari ini untuk menjadi lebih baik dan sentiasa berusaha memperbaiki diri. Manakala di dalam surah Ali Imran dibawah turut menyatakan dengan jelas bahawa “Allah akan menyintai dan mengampuni dosa” bagi orang-orang yang mengikuti Rasulullah

“Katakanlah ( wahai Muhammad), ‘Jika kamu (benar-benar) menyintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH menyintaimu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." ( Surah Ali ‘Imran ayat 31 )

KUPASAN HADITH SAHIH:

Dari Abi Hurayrah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman: Barangsiapa yang menyakiti waliKu maka sesungguhnya Aku memaklumkan perang kepadanya. Dan tiada mendekati hambaKu kepadaKu dengan suatu “pekerjaan” yang lebih Aku sukai dari “mengerjakan” apa yang Aku telah fardhukan keatasnya, Dan sentiasalah hambaKu mendekatkan dirinya kepadaKu dengan “melakukan” segala yang sunat hingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya adalah aku yang “menjadi” pendengarannya yang ia dengar dengan dia, dan penglihatannya yang ia melihat dengan dia, dan tangannya yang ia tamparkan dengan dia, dan kakinya yang ia berjalan dengan dia; dan demi jika ia meminta kepadaKu, nescaya Aku berikan kepada dia; dan demi jika ia meminta perlindungan kepadaKu, nescaya Aku memperlindungi dia.[3] (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Hadith ini dinyatakan sebagai hadith Qudsi yang menerangkan mengenai penilaian amalan seseorang yang boleh mendatangkan kecintaan Allah s.w.t. kepadanya. Amalan fardhu dan sunnat yang mampu mengeratkan hubunganNya dan hambaNya. Usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah adalah amalan yang sangat utama.

Apabila seseorang telah membersihkan dirinya hanya untuk mendapatkan cinta Illahi, maka cinta tersebut akan menjadikan hidupnya terkawal dan terpimpin dengan berkat dan keselamatan. Dalam hadith ini telah dijelaskan bahawa:

“apabila Aku telah mencintainya adalah aku yang “menjadi” pendengarannya yang ia dengar dengan dia, dan penglihatannya yang ia melihat dengan dia, dan tangannya yang ia tamparkan dengan dia, dan kakinya yang ia berjalan dengan dia; dan demi jika ia meminta kepadaKu, nescaya Aku berikan kepada dia; dan demi jika ia meminta perlindungan kepadaKu, nescaya Aku memperlindungi dia.”

InsyaAllah apabila cinta Illahi itu dapat kita gapai, maka Dia akan membuka jalan ke syurga yang hakiki.

KISAH TELADAN:

RABI’ATUL ADAWIYAH

Beliau dilahirkan sekitar awal kurun kedua hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan dinamakan Rabiah yang bermaksud nombor empat.

Seorang yang warak dan zuhud sehinggakan mendapat taraf wali Allah. Mencintai Allah dan Rasulnya sepenuh jiwa dan raganya sehingga menolak cinta manusia kerana takut cintaNYA kepada Allah akan berkurangan. Rasa kecintaan tersebut dibuktikan selama 80 tahun kehidupannya, Rabi’ah sentiasa berzikir kepada Allah, anggota tubuhnya kurus kerana malamnya penuh dengan tahajjud dan munajad, siangnya penuh dengan puasa, majlis ilmu dan hikmah.

Rabi'atul-adawiyyah sentiasa menangis kerana Allah. Orang bertanya kepadanya sebab beliau menangis. Beliau menjawab, "Aku takut berpisah walau sedetik pun dengan Tuhan dan tidak boleh hidup tanpa Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan nafas terakhir - jauhkan dia dariKu kerana dia tidak layak berada di majlisKu."


Kecintaan Sumayyah dan keluarga kepada Agama:

Seorang yatim piatu dan merupakan hamba kepada Abu Huzaifah bin Al-Mughirah iaitu seorang pembesar Quraisy. Walaupun beliau hanya hamba yang berkulit hitam namun perwatakan yang baik dan taat pada perintah tuhannya menjadikan beliau seorang yang disegani. Antara individu terawal yang memeluk agama Islam dan wanita pertama Islam yang gugur mati syahid.Berkahwin dengan Yasir yang juga bekerja dengan Abu Huzaifah dan dikurniakan anak lelaki yang bernama Ammar ibn Yasir.

Ketabahan Sumayyah dan keluarga kerana taat setianya pada Islam membuatkan mereka tidak gentar menghadapi seksaan yang dilakukan oleh Abu Jahal. Contohnya seperti kaki dan tangan mereka sekeluarga diikat dan diheret ke tengah padang pasir yang panas terik, dicucuk dengan besi panas, ditikam dengan lembing, dicungkil biji mata, dibenamkan ke dalam air dan sebagainya. Segala dugaan yang menimpa Sumayyah sekeluarga dihadapi oleh mereka dengan tabah walupun terpaksa berkorban nyawa kerana bagi merka kehidupan di dunia adalah sementara dan ini semua sebagai tanda kecintaan dan keimanan kepada Allah s.w.t. "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman" sedang mereka tidak diuji lagi?" (Surah Al Ankabut, ayat 2).


KESIMPULAN:

“Apabila ditanya kepada Rabiatul Adawiyah tentang syurga, bagaimana hendak menggapai syurga hakiki? Dengan ringkas ia menjawab ‘jiran dulu baru rumah’.[4]

Apa yang dimaksudkan oleh Rabiatul Adawiyah dengan jawapannya ialah dekatkan diri kepada Allah setelah itu baru dapatkan syurgaNYA yang hakiki itu. Jadi bagaimana untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka cari dan cintailah Allah dengan cara solat lima waktu sehari semalam dengan khusyuk, zikrullah, mencintai kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w dan amalan-amalan yang lain yang di redhai Allah s.w.t .


[1] 300 Hadis Bimbingan ke arah mencari redha Allah, Zahazan Mohamed,Ahmad Hasan Mohd.Nazam,m/s20

[2] 300 Hadis Bimbingan ke arah mencari redha Allah, Zahazan Mohamed,Ahmad Hasan Mohd.Nazam,m/s21

[3] Hadith 40(Terjemahan dan Syarahanya), Mustafa ‘Abdul Rahman, Dewan PUstaka Fajar, M/S405-406

[4] Rabi’atul Adawiyah dan Cinta (m.s 102), Abdul Mun’im Qindil